ADIZA SAIDI BLOGSPOT

Wednesday, 3 July 2013

Sultan Kelantan rasmi 'Masjid Beijing' di Rantau Panjang



PASIR MAS 2 Julai - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mencemar duli merasmikan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail atau lebih dikenali sebagai 'Masjid Beijing' di Rantau Panjang dekat sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan; Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan para kenamaan negeri.

Terdahulu, baginda yang segak berpakaian baju Melayu hijau berjemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama-sama kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada penduduk setempat pada majlis berkenaan.

Pembinaan masjid di atas tanah seluas 1.48 hektar dengan kos sebanyak RM8.8 juta itu dimulakan pada 12 September 2005 dan siap sepenuhnya pada 2009.

Masjid yang diberi jolokan 'Masjid Beijing' dengan berkonsepkan seni bina Cina bercirikan Islam di samping mencerminkan tiga budaya terdiri daripada masyarakat Cina, India dan Melayu itu terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang yang bersempadan dengan Thailand.

Selain itu masjid berkenaan juga menyediakan tempat bagi Pusat Ilmu dan gelanggang dakwah bagi penduduk setempat dengan menjalankan pelbagai aktiviti muamalat di samping memberi kemudahan beribadat juga kepada pelancong dari luar negara.

Ahmad Yakob dalam ucapannya berkata, masjid berkenaan menjadi mercu tanda keagungan Islam di bumi Kelantan dan telah diilhamkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Masjid ini agak berbeza dengan kebanyakan masjid yang dibina di Kelantan ataupun di negara ini. Dari jauh tidak kelihatan seperti sebuah masjid ekoran senibinanya yang berbeza sehingga digelar 'Masjid Beijing' walaupun lokasi masjid itu berada di Rantau Panjang.

"Masjid ini juga menjadi lokasi persinggahan penting pengunjung di dalam mahupun luar negara yang datang ke negeri ini.

"Dapat dilihat masjid ini tidak putus-putus dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat untuk melihat sendiri keindahan senibinanya," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment